Saturday, June 8, 2013

Bendera dan Jata Negeri. (2)

BENDERA PERAK

Bendera negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi tiga warna berjalur putih, kuning dan hitam. Ketiga-tiga jalur ini sama lebarnya. Warna putih melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Warna kuning melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan. Warna hitam melambangkan kebesaran Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan.


JATA PERAK

Lambang Negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi Jata Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Jata ini dilingkungi dengan bulan sabit yang mengandungi bunga padi. Jata melambangkan Kedaulatan Raja Pemerintah. Bulan Sabit menandakan Agama Islam sebagai agama rasmi. Bunga Padi menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.

BENDERA PERLIS

Bendera Negeri Perlis terdiri daripada gabungan dua warna. Pada jalur atas bendera menonjolkan warna kuning dan pada jalur bawah bendera menonjolkan warna biru. Di Nusantara, warna kuning adalah warna tradisional untuk raja-raja. Jadi, jalur berwarna kuning mengambarkan simbol pemerintahan beraja iaitu D.Y.M.M. Raja Perlis yang terdapat di Perlis, manakala jalur berwarna biru pula mengambarkan simbol rakyat jelata. Paduan warna ini menunjukkan hubungan erat antara "Raja dengan Rakyat".
Paduan warna bendera negeri Perlis bertentangan dengan paduan warna bendera negara Ukraine kerana jalur atas pada bendera Ukraine berwarna biru muda.

JATA PERLIS

Lingkaran padi pada lambang negeri Perlis memberi maksud pekerjaan utama dan hasil utama negeri iaitu padi. Perisai pula melambangkan kebanggaan dan kehormatan negeri itu. Lambang itu keseluruhannya bermakna kebanggaan negeri itu kerana kekayaan hasil padinya.

BENDERA PULAU PINANG

Warna biru muda bermaksud warna laut yang indah di sekeliling pulau itu. Warna putih pula membawa maksud negeri Pulau Pinang yang aman dan damai. Warna kuning melambangkan kemakmuran. Pohon Pinang ialah pohon dari mana pulau itu mendapat namanya.

JATA PULAU PINANG

Pohon Pinang ialah tanda asal nama pulau itu. Petak yang berwarna kuning mengandungi gambar Jambatan Pulau Pinang yang mempunyai dua tiang dan empat kebel yang menegakkan tiang tersebut. Dua tiang ini melambangkan Serampang Dua Mata di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Empat kebel pula menggambarkan empat jenis keturunan rakyat di negeri ini, iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Jalur-jalur biru dan putih yang menjadi simbol lautan berjumlah lima. Tiap-tiap satu warna yang memberi makna simbol lima prinsip Rukunegara dan lima daerah pentadbiran yang terdapat di Pulau Pinang.

BENDERA SELANGOR

Empat bahagian yang berwarna kuning dan merah itu bermaksud daging dan darah iaitu unsur-unsur yang perlu untuk memberi jiwa dan tenaga kepada negeri ini. Bulan sabit dan bintang pula ialah sebagai lambang agama Islam, agama rasmi negeri Selangor manakala kesucian Agama Islam ditunjukkan dengan warna putih.

JATA SELANGOR

Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri. Tombak merah di tengah-tengah ialah Sambu-warna. Di sebelah kanan ialah Keris Pendek dan di kiri pula Keris Panjang. Ketiga-tiganya adalah Alat Kebesaran Negeri. Tulisan Jawi yang berbunyi "Dipelihara Allah" ialah cogan negeri. Di bawah cogan pula ialah tali bengkong yang dipakai sebagai ikat pinggang oleh pahlawan-pahlawan zaman dahulu.

BENDERA TERENGGANU

Latar belakang berwarna putih membawa maksud D.Y.M.M Sultan Terengganu. Ia melingkari tanah hitam yang bermaksud rakyat. Ini bermakna Sultan adalah memberi perlindungan kepada seluruh rakyat Baginda. Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri.

JATA TERENGGANU

Bulan bintang menunjukkan negeri Islam. Mahkota menandakan pemerintahan Diraja. PedangKeris Panjang dan Cokmar pula merupakan Alat Kebesaran Negeri. Manakala di sebelah kanannya ialah al-Quran melambangkan Agama Islam, agama rasmi negeri. Buku Undang-undang di sebelah kiri pula menandakan keadilan dan Wali menandakan Alatan Istiadat Kebesaran.

BENDERA SABAH

Bendera negeri Sabah bersegi panjang berukuran 1:2. Di sudut sebelah atas bendera berwarna biru cerah menjadi latar belakang lukisan grafik bayangan Gunung Kinabalu berwarna biru tua meliputi suku bahagian bendera ini. Bahagian hujung bendera yang berkibar dihiasi tiga jalur yang sama besar. Jalur atas berwarna biru muda, jalur tengah berwarna putih dan jalur bawah berwarna merah cili.
Warna
 biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, manakala merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan. Warna biru cerah menunjukkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama. Kelima-lima warna yang menghiasi bendera ini mewakili lima bahagian yang terkandung dalam Negeri Sabah. Lukisan grafik berbentuk Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah.

JATA SABAH

Sepasang tangan yang menjulang megah bendera negeri Sabah menghiasi lencana ini melambangkan semangat perpaduan erat dan kerjasama yang lama terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum demi mencapai kemajuan dan kejayaan bagi negeri Sabah. Sebarisan lima warna di bawah sepasang tangan tersebut merupakan lima bahagian 'bahagian' yang terkandung dalam negeri Sabah.
Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan, warna biru cerah melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama rakyat.

Lukisan grafik berbentuk bayangan Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah. Di bahagian bawah jata ini, terdapat cogan kata negeri Sabah, iaitu Sabah Maju Jaya.

BENDERA SARAWAK

Warna merah melambangkan keberanian, kesungguhan dan pengorbanan rakyat dalam daya usaha mereka yang berterusan untuk mengejar serta mempertahankan kemajuan dan ketinggian maruah dalam proses membina Sarawak sebagai negeri contoh. Warna kuning menggambarkan keagungan Perundangan dan Peraturan, perpaduan serta kestabilan dalam masyarakat yang berbilang kaum. Warna hitam melambangkan kekayaan sumber asli Sarawak seperti minyak mentah, balak dan sebagainya yang merupakan landasan bagi memajukan rakyatnya.

Bintang pecah sembilan yang berwarna kuning melambangkan sembilan bahagian di mana rakyatnya tinggal dalam harmonis. Simbol bintang juga merupakan cita-cita tinggi rakyat dan hasrat perjuangan untuk meninggikan mutu kehidupan selepas merdeka.

JATA SARAWAK

Lambang negeri menjunjungkan kemegahan "Bumi Kenyalang", terbang tinggi dengan aspirasi dan pencapaian dalam semua lapangan daya usaha, berpandukan ideologi politik pembangunan. Lencana negeri ini juga boleh membezakan keungggulan Sarawak daripada negeri-negeri lain di dunia.

2 comments: