Saturday, June 8, 2013

Bendera dan Jata Negara Malaysia.

BENDERA MALAYSIA

Bendera Malaysia yang dinamakan Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri - Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Terengganu, Perlis, Selangor, Melaka, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, dan 3 Wilayah Persekutuan - Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya. dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam iaitu agama rasmi Malaysia. Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna Kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Di Raja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Nama bendera 
Malaysia telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Perkataan JALUR menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

Perkataan GEMILANG bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

JATA MALAYSIA

Jata Malaysia menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan, manakala bintang bersama-sama anak bulan itu tanda Agama Islam iaitu agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris itu tanda Negeri-negeri Melayu yang Tiada Bersekutu dahulu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu).

Bahagian sebelah kiri perisai itu menandakan Negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka itu Negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri ini adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang, merah dan kuning warna Selangor, hitam, putih dan kuning warna negeri Perak, merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan.

Empat buah negeri ini ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Tiga Bahagian di sebelah bawah itu menandakan Negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah Bunya Raya - Bunga Kebangsaan. Harimau-harimau yang di tunjukkan sebagai penumpang jata Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu itu digunakan dalam Lambang Malaysia,


Cogan Jata Malaysia ialah "Bersekutu Bertambah Mutu" - ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.


Bendera dan Jata Wilayah Persekutuan.

 BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN 
KUALA LUMPUR

Bendera ini berteraskan bendera kebangsaan yang berjalur putih dan merah. Warna biru tua bersama bintang serta bulan sabit berwarna kuning. Unsur-unsur ini tidak dapat dipisahkan memandangkan Kuala Lumpur adalah Ibu Negara Malaysia dan juga Wilayah Persekutuan.14 jalur merah dan putih melintang menandakan keanggotaan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terletak di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Bulan sabit dan bintang melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi. Bintang berbucu 14 melambangkan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bertindak sebagai Pusat Kerajaan dan pentadbiran.

Warna biru tua di bahagian tengah melambangkan perpaduan wargakota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berbilang kaum. Warna merah melambangkan keberanian, kegagahan sebuah bandaraya dalam menghadapi cabaran ke arah pembangunan bandaraya kosmopolitan yang dinamik dan berprogresif. Warna kuning melambangkan kedaulatan dan kemakmuran Kuala Lumpur. Warna putih melambangkan keluhuran, kebersihan dan keindahan bandaraya dalam taman bercahaya

JATA WILAYAH PERSEKUTUAN 
KUALA LUMPUR

Cogan kata Bandaraya Kula Lumpur, Maju dan Makmur ada pada jata ini. Bulan Sabit dan bintang bersudut tiga belas menyatakan kedudukan agama Islam di Malaysia. Buku yang dengan kepingan hijau melambangkan Kuala Lumpur sebagai pusat pendidikan.


BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN 
PUTRAJAYA

Bendera baru bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah berasaskan dua warna utama iaitu biru dan kuning.Warna biru melambangkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Manakala warna kuning bendera adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu. Logo Persekutuan melambangkan Wilayah Persekutuan Putrajaya menjadi tonggak pentadbiran negara yang baru dengan kekuatan dan semangat yang utuh dalam mengharungi era globalisasi dan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

JATA WILAYAH PERSEKUTUAN 
PUTRAJAYA

Pokok-pokoknya melambangkan Taman Botani yang memainkan peranan yang penting dalam perkembangan Putrajaya. Taman Botani di Putrajaya telah mewujudkan sebuah Wilayah Persekutuan yang harmoni dan selesa.

BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN 
LABUAN

Bendera ini mengandungi tiga jalur melintang yang sama lebar berwarna merah, putih dan biru dengan bulan bintang pecah empat belas berwarna kuning terletak di tengah bendera. Jalur-jalur merah, putih, biru dan bulan bintang berwarna kuning yang melambangkan warna Bendera Malaysia membawa makna Pulau Labuan adalah menjadi Wilayah Persekutuan di dalam Persekutuan Malaysia. Bulan Bintang bermakna Agama Islam sebagai agama rasmi dan bintang pecah empat belas menggambarkan negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan bersatu dalam Persekutuan Malaysia.

Merah melambangkan keberanian bermakna Pulau Labuan adalah menjadi Wilayah Persekutuan di dalam Persekutuan Malaysia. Putih melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan dalam mempertingkatkan katahanan rakyat yang beradab, berkebudayaan dan berkeperibadian Malaysia. Biru melambangkan perpaduan rakyat berbilang kaum, hidup bersatu, aman makmur hormati serta berusaha untuk memajukan pembangunan ekonomi yang berasaskan sains dan teknologi. Kuning melambangkan kedaulatan Raja Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara. Bulan Bintang yang terletak di tengah-tengah dan mencakupi ketiga-tiga jalur (merah, putih, biru) menampakkan kestabilan dan kekuatan di dalam menyatukan lambang-lambang keberanian, kesucian dan perpaduan.

JATA WILAYAH PERSEKUTUAN 
LABUAN

Warna biru melambangkan ketegasan Perbadanan Labuan untuk mempertingkatkan pembangunan ekonomi, infrastruktur dan sosial. Warna jingga pula melambangkan keceriaan Perbadanan dalam memperkembangkan kesenian, budaya, sukan dan aktiviti rekreasi.

Bendera dan Jata Negeri. (1)

BENDERA JOHOR

Anak bulan dan bintang yang berwarna putih itu menandakan Raja yang berdaulat. Bahagian yang berwarna merah bermakna hulubalang yang mempertahankan negeri. Bahagian yang berwarna biru tua itu pula maksudnya Kerajaan Negeri dan Rakyat Jelata.

JATA JOHOR

Mahkota tanda D.Y.M.M. Raja Empat Bintang di sudut Perisai Putih itu menandakan Empat Buah Jajahan besar asal negeri itu, iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau; sementara Bintang dan Anak Bulan di tengah pula, tanda Agama Islam. Dua ekor Harimau yang memegang perisai itu mengingatkan kepada binatang-binatang buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di negeri ini. Lukisan yang berbunga-bunga di sebelah bawah perisai maksudnya Gambir dan Lada Hitam, dua jenis hasil utama yang asal bagi negeri ini. Cogan kata negeri ialah " Kepada Allah Berserah".

BENDERA KEDAH

Bendera negeri Kedah memaparkan anak bulan sabit berwarna hijau di bawah perisai kuning yang tanda negeri ini beragama Islam, dan dilingkungi oleh jambangan padi berwarna kuning di atas latar belakang merah. Merah adalah warna tradisional negeri Kedah yang turun-temurun dan juga melambangkan kemewahan, sementara bulan sabit adalah simbol agama Islam.

Perisai melambangkan Sultan negeri sebagai pelindung dan penjaga rakyatnya. Padi maknanya negeri ini makmur dalam hal kehidupan. Raja (Kerajaan) sentiasa menjaga dan memelihara rakyatnya dan penduduk dalam negeri ini daripada kezaliman.

JATA KEDAH

Jambangan yang terdiri daripada lengkaran biji padi melambangkan komoditi pertanian utama negeri – beras. Anak bulan sabit melambangkan Islam sementara perisai melambangkan kekuasaan pemerintah. Perisai pula melambangkan kekuasaan.

BENDERA KELANTAN

Bendera Kelantan yang berlatar belakang berwarna merah membawa maksud kejujuran penduduk, rakyat, raja. Lambang kebesaran bewarna putih pula menandakan kesucian Raja Negeri Kelantan.

JATA KELANTAN

Mahkota itu tanda kedaulatan Sultan. Dua tombak dan dua keris maksudnya kekuatan orang-orang Melayu Kelantan. Anak Bulan dan Bintang adalah tanda Islam. Dua laras meriam itu maknanya bahawa negeri ini adalah sentiasa bersedia untuk mempertahankan dirinya. Dua ekor kijang mengingatkan kembali kepada sejarah tua negeri ini di masa Che' Wan Kembang, Permaisuri Kelantan yang terlalu kasih pada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap dengan gambar binatang itu. Cogan jata ini ialah "Berserah Kepada Tuhan Kerajaan Kelantan"

BENDERA MELAKA

Warna-warna merah, putih, kuning dan biru mencerminkan warna-warna yang terdapat pada Jalur Gemilang dan menunjukkan bahawa Melaka ialah sebuah negeri dalam Persekutuan, sementara anak bulan sabit dan bintang pecah lima itu pula ialah tanda agama Islam, agama negeri dan juga negara.

JATA MELAKA

Putih, kuning dan biru yang terdapat pada lambang negeri ini adalah warna-warna yang terdapat di Malaysia. Ia menunjukkan bahawa Melaka adalah sebahagian dari Malaysia. Manakala 5 keris yang ada melambangkan 5 orang pahlawan Melaka pada zaman silam yang terkenal dan berani: Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Lekir dan Hang Kasturi. Bulan sabit dan bintang pecah lima yang terdapat di atas tengah-tengahnya pula adalah simbol kepada Islam sebagai agama rasmi.

Di samping itu, terdapat
 pokok Melaka, pohon dari mana negeri itu mendapat namanya. 2 ekor pelanduk yang memegang perisai ialah untuk memperingati riwayat tua bagaimana Melaka diasaskan. Dalam hikayat itu menceritakan bagaimana Parameswara menyaksikan pergaduhan antara seekor pelanduk dengan seekor anjing semasa baginda sedang berehat di bawah pokok melaka. Baginda berasa kagum dengan kekuatan dan kebijaksanaan rusa yang kecil itu semasa berlawan dengan seekor anjing. Akhirnya baginda mengambil keputusan untuk mendirikan tempat tinggal di situ dan menamakannya Melaka. Pelanduk itulah yang telah menyebabkan Raja Melaka mengambil keputusan untuk menetap dalam negeri ini dan membukanya.

BENDERA NEGERI SEMBILAN

Warna kuning pada bendera membawa maksud D.Y.M.M. Raja. Bahagian tiga segi yang berwarna merah bermakna rakyat, sementara bahagian tiga segi yang berwarna hitam maksudnya Datuk-datuk Undang bagi Luak-luak yang menjadi bahagian-bahagian negeri ini.

JATA NEGERI SEMBILAN

Sembilan tangkai padi di dalam perisai itu maksudnya sembilan buah negeri dalam Gabungan Negeri Sembilan yang lama. Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan-hubungan pada masa lalu dengan British. Warna hitam maknanya Datuk-datuk Undang. Warna kuning maknanya Yang di-Pertuan Besar.

Bintang Pecah Sembilan itu adalah juga menunjukkan sembilan buah negeri dalam Gabungan yang lama. Pedang dan sarungannya di atas perisai itu tanda keadilan. Di tengah-tengah antara pedang dan sarung ialah "Changgai Putri" tanda kebesaran Yang di-Pertuan Besar.

BENDERA PAHANG

Hitam adalah warna kebesaran Bendahara melambangkan bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintah di Negeri Pahang adalah seorang yang bertaraf Bendahara. Putih adalah melambangkan raja. Tambahan warna putih di atas hitam ini membawa makna bahawa Negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan sendiri dan pemerintahan beraja. Ini juga membawa erti bahawa negeri ini ada mempunyai keistimewaan-keistimewaan, undang-undang, adat istiadat, adat resam, tatasusila serta kuasa-kuasa yang tertentu yang ada pada raja sebagai sebuah negeri yang beraja dan berdaulat.

JATA PAHANG

Mata cogan berbentuk daun kopi itu semuanya diperbuat daripada emas termasuk penongkok dan taran. Tujuan dipilih logam emas itu ialah melambangkan bahawa dalam tahun 1862 emas merupakan hasil masyhur yang utama di Negeri Pahang. Keduanya tiada kebal yang boleh menahan senjata yang diperbuat dari emas. Gading yang bersilang di bawah daun kopi itu melambangkan bahawa ketika itu gading gajah terdapat dengan banyaknya serata negeri Pahang sehingga ia menjadi satu perdagangan yang besar. Kalimah "Ya La Tif" bermaksud yang lemah lembut. Simboliknya pemerintah tidak menggunakan kekerasan. "Ya La Tif" juga dijadikan azimat yang berguna.



Bendera dan Jata Negeri. (2)

BENDERA PERAK

Bendera negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi tiga warna berjalur putih, kuning dan hitam. Ketiga-tiga jalur ini sama lebarnya. Warna putih melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Warna kuning melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan. Warna hitam melambangkan kebesaran Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan.


JATA PERAK

Lambang Negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi Jata Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Jata ini dilingkungi dengan bulan sabit yang mengandungi bunga padi. Jata melambangkan Kedaulatan Raja Pemerintah. Bulan Sabit menandakan Agama Islam sebagai agama rasmi. Bunga Padi menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.

BENDERA PERLIS

Bendera Negeri Perlis terdiri daripada gabungan dua warna. Pada jalur atas bendera menonjolkan warna kuning dan pada jalur bawah bendera menonjolkan warna biru. Di Nusantara, warna kuning adalah warna tradisional untuk raja-raja. Jadi, jalur berwarna kuning mengambarkan simbol pemerintahan beraja iaitu D.Y.M.M. Raja Perlis yang terdapat di Perlis, manakala jalur berwarna biru pula mengambarkan simbol rakyat jelata. Paduan warna ini menunjukkan hubungan erat antara "Raja dengan Rakyat".
Paduan warna bendera negeri Perlis bertentangan dengan paduan warna bendera negara Ukraine kerana jalur atas pada bendera Ukraine berwarna biru muda.

JATA PERLIS

Lingkaran padi pada lambang negeri Perlis memberi maksud pekerjaan utama dan hasil utama negeri iaitu padi. Perisai pula melambangkan kebanggaan dan kehormatan negeri itu. Lambang itu keseluruhannya bermakna kebanggaan negeri itu kerana kekayaan hasil padinya.

BENDERA PULAU PINANG

Warna biru muda bermaksud warna laut yang indah di sekeliling pulau itu. Warna putih pula membawa maksud negeri Pulau Pinang yang aman dan damai. Warna kuning melambangkan kemakmuran. Pohon Pinang ialah pohon dari mana pulau itu mendapat namanya.

JATA PULAU PINANG

Pohon Pinang ialah tanda asal nama pulau itu. Petak yang berwarna kuning mengandungi gambar Jambatan Pulau Pinang yang mempunyai dua tiang dan empat kebel yang menegakkan tiang tersebut. Dua tiang ini melambangkan Serampang Dua Mata di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Empat kebel pula menggambarkan empat jenis keturunan rakyat di negeri ini, iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Jalur-jalur biru dan putih yang menjadi simbol lautan berjumlah lima. Tiap-tiap satu warna yang memberi makna simbol lima prinsip Rukunegara dan lima daerah pentadbiran yang terdapat di Pulau Pinang.

BENDERA SELANGOR

Empat bahagian yang berwarna kuning dan merah itu bermaksud daging dan darah iaitu unsur-unsur yang perlu untuk memberi jiwa dan tenaga kepada negeri ini. Bulan sabit dan bintang pula ialah sebagai lambang agama Islam, agama rasmi negeri Selangor manakala kesucian Agama Islam ditunjukkan dengan warna putih.

JATA SELANGOR

Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri. Tombak merah di tengah-tengah ialah Sambu-warna. Di sebelah kanan ialah Keris Pendek dan di kiri pula Keris Panjang. Ketiga-tiganya adalah Alat Kebesaran Negeri. Tulisan Jawi yang berbunyi "Dipelihara Allah" ialah cogan negeri. Di bawah cogan pula ialah tali bengkong yang dipakai sebagai ikat pinggang oleh pahlawan-pahlawan zaman dahulu.

BENDERA TERENGGANU

Latar belakang berwarna putih membawa maksud D.Y.M.M Sultan Terengganu. Ia melingkari tanah hitam yang bermaksud rakyat. Ini bermakna Sultan adalah memberi perlindungan kepada seluruh rakyat Baginda. Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri.

JATA TERENGGANU

Bulan bintang menunjukkan negeri Islam. Mahkota menandakan pemerintahan Diraja. PedangKeris Panjang dan Cokmar pula merupakan Alat Kebesaran Negeri. Manakala di sebelah kanannya ialah al-Quran melambangkan Agama Islam, agama rasmi negeri. Buku Undang-undang di sebelah kiri pula menandakan keadilan dan Wali menandakan Alatan Istiadat Kebesaran.

BENDERA SABAH

Bendera negeri Sabah bersegi panjang berukuran 1:2. Di sudut sebelah atas bendera berwarna biru cerah menjadi latar belakang lukisan grafik bayangan Gunung Kinabalu berwarna biru tua meliputi suku bahagian bendera ini. Bahagian hujung bendera yang berkibar dihiasi tiga jalur yang sama besar. Jalur atas berwarna biru muda, jalur tengah berwarna putih dan jalur bawah berwarna merah cili.
Warna
 biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, manakala merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan. Warna biru cerah menunjukkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama. Kelima-lima warna yang menghiasi bendera ini mewakili lima bahagian yang terkandung dalam Negeri Sabah. Lukisan grafik berbentuk Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah.

JATA SABAH

Sepasang tangan yang menjulang megah bendera negeri Sabah menghiasi lencana ini melambangkan semangat perpaduan erat dan kerjasama yang lama terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum demi mencapai kemajuan dan kejayaan bagi negeri Sabah. Sebarisan lima warna di bawah sepasang tangan tersebut merupakan lima bahagian 'bahagian' yang terkandung dalam negeri Sabah.
Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan, warna biru cerah melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama rakyat.

Lukisan grafik berbentuk bayangan Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah. Di bahagian bawah jata ini, terdapat cogan kata negeri Sabah, iaitu Sabah Maju Jaya.

BENDERA SARAWAK

Warna merah melambangkan keberanian, kesungguhan dan pengorbanan rakyat dalam daya usaha mereka yang berterusan untuk mengejar serta mempertahankan kemajuan dan ketinggian maruah dalam proses membina Sarawak sebagai negeri contoh. Warna kuning menggambarkan keagungan Perundangan dan Peraturan, perpaduan serta kestabilan dalam masyarakat yang berbilang kaum. Warna hitam melambangkan kekayaan sumber asli Sarawak seperti minyak mentah, balak dan sebagainya yang merupakan landasan bagi memajukan rakyatnya.

Bintang pecah sembilan yang berwarna kuning melambangkan sembilan bahagian di mana rakyatnya tinggal dalam harmonis. Simbol bintang juga merupakan cita-cita tinggi rakyat dan hasrat perjuangan untuk meninggikan mutu kehidupan selepas merdeka.

JATA SARAWAK

Lambang negeri menjunjungkan kemegahan "Bumi Kenyalang", terbang tinggi dengan aspirasi dan pencapaian dalam semua lapangan daya usaha, berpandukan ideologi politik pembangunan. Lencana negeri ini juga boleh membezakan keungggulan Sarawak daripada negeri-negeri lain di dunia.