Saturday, June 8, 2013

Bendera dan Jata Negeri. (1)

BENDERA JOHOR

Anak bulan dan bintang yang berwarna putih itu menandakan Raja yang berdaulat. Bahagian yang berwarna merah bermakna hulubalang yang mempertahankan negeri. Bahagian yang berwarna biru tua itu pula maksudnya Kerajaan Negeri dan Rakyat Jelata.

JATA JOHOR

Mahkota tanda D.Y.M.M. Raja Empat Bintang di sudut Perisai Putih itu menandakan Empat Buah Jajahan besar asal negeri itu, iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau; sementara Bintang dan Anak Bulan di tengah pula, tanda Agama Islam. Dua ekor Harimau yang memegang perisai itu mengingatkan kepada binatang-binatang buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di negeri ini. Lukisan yang berbunga-bunga di sebelah bawah perisai maksudnya Gambir dan Lada Hitam, dua jenis hasil utama yang asal bagi negeri ini. Cogan kata negeri ialah " Kepada Allah Berserah".

BENDERA KEDAH

Bendera negeri Kedah memaparkan anak bulan sabit berwarna hijau di bawah perisai kuning yang tanda negeri ini beragama Islam, dan dilingkungi oleh jambangan padi berwarna kuning di atas latar belakang merah. Merah adalah warna tradisional negeri Kedah yang turun-temurun dan juga melambangkan kemewahan, sementara bulan sabit adalah simbol agama Islam.

Perisai melambangkan Sultan negeri sebagai pelindung dan penjaga rakyatnya. Padi maknanya negeri ini makmur dalam hal kehidupan. Raja (Kerajaan) sentiasa menjaga dan memelihara rakyatnya dan penduduk dalam negeri ini daripada kezaliman.

JATA KEDAH

Jambangan yang terdiri daripada lengkaran biji padi melambangkan komoditi pertanian utama negeri – beras. Anak bulan sabit melambangkan Islam sementara perisai melambangkan kekuasaan pemerintah. Perisai pula melambangkan kekuasaan.

BENDERA KELANTAN

Bendera Kelantan yang berlatar belakang berwarna merah membawa maksud kejujuran penduduk, rakyat, raja. Lambang kebesaran bewarna putih pula menandakan kesucian Raja Negeri Kelantan.

JATA KELANTAN

Mahkota itu tanda kedaulatan Sultan. Dua tombak dan dua keris maksudnya kekuatan orang-orang Melayu Kelantan. Anak Bulan dan Bintang adalah tanda Islam. Dua laras meriam itu maknanya bahawa negeri ini adalah sentiasa bersedia untuk mempertahankan dirinya. Dua ekor kijang mengingatkan kembali kepada sejarah tua negeri ini di masa Che' Wan Kembang, Permaisuri Kelantan yang terlalu kasih pada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap dengan gambar binatang itu. Cogan jata ini ialah "Berserah Kepada Tuhan Kerajaan Kelantan"

BENDERA MELAKA

Warna-warna merah, putih, kuning dan biru mencerminkan warna-warna yang terdapat pada Jalur Gemilang dan menunjukkan bahawa Melaka ialah sebuah negeri dalam Persekutuan, sementara anak bulan sabit dan bintang pecah lima itu pula ialah tanda agama Islam, agama negeri dan juga negara.

JATA MELAKA

Putih, kuning dan biru yang terdapat pada lambang negeri ini adalah warna-warna yang terdapat di Malaysia. Ia menunjukkan bahawa Melaka adalah sebahagian dari Malaysia. Manakala 5 keris yang ada melambangkan 5 orang pahlawan Melaka pada zaman silam yang terkenal dan berani: Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Lekir dan Hang Kasturi. Bulan sabit dan bintang pecah lima yang terdapat di atas tengah-tengahnya pula adalah simbol kepada Islam sebagai agama rasmi.

Di samping itu, terdapat
 pokok Melaka, pohon dari mana negeri itu mendapat namanya. 2 ekor pelanduk yang memegang perisai ialah untuk memperingati riwayat tua bagaimana Melaka diasaskan. Dalam hikayat itu menceritakan bagaimana Parameswara menyaksikan pergaduhan antara seekor pelanduk dengan seekor anjing semasa baginda sedang berehat di bawah pokok melaka. Baginda berasa kagum dengan kekuatan dan kebijaksanaan rusa yang kecil itu semasa berlawan dengan seekor anjing. Akhirnya baginda mengambil keputusan untuk mendirikan tempat tinggal di situ dan menamakannya Melaka. Pelanduk itulah yang telah menyebabkan Raja Melaka mengambil keputusan untuk menetap dalam negeri ini dan membukanya.

BENDERA NEGERI SEMBILAN

Warna kuning pada bendera membawa maksud D.Y.M.M. Raja. Bahagian tiga segi yang berwarna merah bermakna rakyat, sementara bahagian tiga segi yang berwarna hitam maksudnya Datuk-datuk Undang bagi Luak-luak yang menjadi bahagian-bahagian negeri ini.

JATA NEGERI SEMBILAN

Sembilan tangkai padi di dalam perisai itu maksudnya sembilan buah negeri dalam Gabungan Negeri Sembilan yang lama. Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan-hubungan pada masa lalu dengan British. Warna hitam maknanya Datuk-datuk Undang. Warna kuning maknanya Yang di-Pertuan Besar.

Bintang Pecah Sembilan itu adalah juga menunjukkan sembilan buah negeri dalam Gabungan yang lama. Pedang dan sarungannya di atas perisai itu tanda keadilan. Di tengah-tengah antara pedang dan sarung ialah "Changgai Putri" tanda kebesaran Yang di-Pertuan Besar.

BENDERA PAHANG

Hitam adalah warna kebesaran Bendahara melambangkan bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintah di Negeri Pahang adalah seorang yang bertaraf Bendahara. Putih adalah melambangkan raja. Tambahan warna putih di atas hitam ini membawa makna bahawa Negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan sendiri dan pemerintahan beraja. Ini juga membawa erti bahawa negeri ini ada mempunyai keistimewaan-keistimewaan, undang-undang, adat istiadat, adat resam, tatasusila serta kuasa-kuasa yang tertentu yang ada pada raja sebagai sebuah negeri yang beraja dan berdaulat.

JATA PAHANG

Mata cogan berbentuk daun kopi itu semuanya diperbuat daripada emas termasuk penongkok dan taran. Tujuan dipilih logam emas itu ialah melambangkan bahawa dalam tahun 1862 emas merupakan hasil masyhur yang utama di Negeri Pahang. Keduanya tiada kebal yang boleh menahan senjata yang diperbuat dari emas. Gading yang bersilang di bawah daun kopi itu melambangkan bahawa ketika itu gading gajah terdapat dengan banyaknya serata negeri Pahang sehingga ia menjadi satu perdagangan yang besar. Kalimah "Ya La Tif" bermaksud yang lemah lembut. Simboliknya pemerintah tidak menggunakan kekerasan. "Ya La Tif" juga dijadikan azimat yang berguna.



1 comment:

  1. All wrong.. Godness gracious this website .. Do not trust anymore... All BENDERA is wrong and only the JATA for Melaka is correct. Could have done much better...

    ReplyDelete